persada

persada

Thursday, August 2, 2012

Cara Menguruskan Badan Menurut Pandangan Islam

Ibadah puasa sebenarnya boleh membantu menjaga kesihatan termasuk mendapat dan mengekalkan bentuk badan yang menarik. Dengan kata lain, puasa boleh membantu menguruskan badan. Puasa kini bukan sahaja diamalkan oleh penganut agama Islam, ia sudah mula mendapat perhatian penganut agama lain.


Bagi kita puasa sudah menjadi sebahagian daripada kewajipan yang perlu kita laksanakan namun bagi mereka yang bukan beragama Islam, mereka menganggap puasa adalah salah satu cara yang amat berkesan untuk mengurangkan berat badan.


Puasa dan kesannya terhadap berat badan memang ketara jika kita mengamalkan puasa yang sebenarnya dan mengikut aturan makan terutamanya sewaktu berbuka puasa dan bersahur dengan betul seperti yang disarankan dalam Islam.


Untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal melalui amalan berpuasa ini, kita jangan mengambil makanan mengikut nafsu sebaliknya ambillah makanan mengikut keperluan tubuh badan. Seelok-eloknya apabila berbuka puasa, makanan yang diambil perlulah bergantung pada keperluan individu. Anda dinasihatkan mengambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran sewaktu berbuka puasa. Pengambilan makanan yang mengandungi nilai kalori yang tinggi, berlemak dan berkarbohidrat juga perlu dielakkan.




Puasa Isnin & Khamis
Kerana banyaknya hikmah dan kebaikan berpuasa terhadap kesihatan kita, maka umat Islam juga digalakkan berpuasa walaupun bukan di sepanjang bulan Ramadan. Dalam Islam ada dinyatakan petua untuk kekal sihat dan panjang umur adalah dengan melakukan amalan puasa sunat setiap Isnin dan Khamis setiap minggu.


Puasa sunat ini jika kita amalkan seperti yang telah ditetapkan ia akan membantu kita mengawal kalori dan menguatkan daya ketahanan asalkan tidak mengambil terlalu banyak makanan berlemak dan manis. Namun ini bukan bermakna anda tidak boleh langsung mengambil makanan manis, cuma gantikan makanan manis itu dengan memakan buah-buahan, serat dan jus buah-buahan yang dibuat sendiri. Jus yang dibuat sendiri seeloknya tidak diletakkan gula yang banyak, lebih baik jika tidak diletakkan langsung. Biarkan ia rasa manis secara semulajadi.


Sewaktu menyediakan dan mengambil makanan untuk berbuka puasa juga seharusnya dibanyakkan makanan berprotein, telur, susu dan masakan yang dikukus. Di sini kita boleh mengambil iktibar daripada Rasululllah s.a.w. Mengapa nabi sunatkan kita berbuka puasa dengan mengambil buah kurma terlebih dahulu? Sebenarnya dari sudut diet, mendahulukan buah kurma adalah baik untuk kesihatan. Selepas itu barulah diikuti dengan mengambil makanan lain seperti roti atau nasi. Pengambilan makanan yang mengandungi banyak santan dan makanan bergoreng wajar disingkirkan dari senarai menu anda.




Makanan yang panas dan pedas
Antara menu terbaik untuk berbuka puasa adalah asam laksa kerana ia mempunyai protein melalui kuah ikannya. Ataupun sup sayuran yang mengandungi pelbagai jenis serat. Asam laksa sangat baik kerana kuahnya mengandungi nilai protein yang tinggi hasil daripada campuran isi ikan dan sayur-sayuran.


Selain itu, kunyit dan temu lawak juga boleh membantu mengurangkan lemak. Begitu juga makanan pedas dan panas yang membantu membakar lemak. Kerana itu, bagi mereka yang ingin menguruskan badan, ambillah makanan yang bersifat panas dan pedas.


Selain berbuka, bersahur juga penting. Walaupun anda hanya berpuasa sunat. Sahur sama sifatnya dengan sarapan pagi. Dalam carta kesihatan sarapan pagi tidak boleh diabaikan. Apabila bersahur, sama juga dengan berbuka. Lebihkan pengambilan buah-buahan dan protein. Ada orang gemar minum susu atau milo, tak mengapa asalkan ada protein.


Bagaimanapun amalan berpuasa sahaja masih tidak mencukupi untuk kita mengurangkan berat badan dan mendapat bentuk badan yang ideal. Tidak ada ertinya jika anda berpuasa tetapi dalam masa yang sama anda hanya tidur dan memerap di rumah.




Bersenam di waktu petang
Apabila anda berpuasa, anda juga masih boleh melakukan senaman. Namun masanya mungkin berlainan daripada biasa. Apabila berpuasa janganlah bersenam di awal pagi, perbuatan ini hanya akan menjadikan anda lebih cepat berasa lapar dan dahaga, sebaliknya buatlah senaman sekitar jam 5-6 petang. Walaupun anda akan rasa keletihan tetapi ia akan hilang sebaik sahaja anda berbuka puasa. Jarak antara masa anda bersenam dengan waktu berbuka juga sudah tidak jauh.


Alasan berpuasa untuk tidak bersenam tidak boleh diterima dalam konsep berpuasa mengikut cara Islam. Senaman yang anda lakukan ketika sedang berpuasa akan mempercepatkan lagi proses penurunan berat badan. Lemak-lemak di tubuh tidak akan terkumpul setempat sebaliknya akan pergi ke otot dan ia membantu mengurangkan rasa lapar. Satu daripada senaman yang bagus untuk anda laksanakan ialah senaman angkat beban di tangan yang membantu menguatkan otot dan tulang.


Sekiranya anda tidak berupaya untuk berjoging, berjalan kaki setengah jam sudah mencukupi. Bagi anda wanita, aktiviti memasak, mengemas rumah, membersihkan halaman ataupun turun naik tangga juga boleh dianggap senaman yang boleh membakar kalori.


Justeru sebagai Muslimah, anda tidak perlu bersusah payah dan mengeluarkan belanja yang besar untuk kelihatan kurus dan sihat. Hanya amalkan amalan berpuasa dan ikut peraturan yang dianjurkan dalam Islam. Insya-Allah anda akan memperolehi kedua-duanya iaitu, kurus dan pahala.

No comments: