persada

persada

Thursday, August 2, 2012

Hukum Wanita Haid Masuk Ke Masjid


Dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Thaharah wa Sunaniha, Bab berkenaan tegahan (wanita yang didatangi) haid dari masjid, hadis no: 645, diriwayatkan dari Umm Salamah radhiallahu 'anha sebuah hadis:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ.

Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan bagi orang yang junub dan tidak juga bagi (wanita yang didatangi) haid.


Dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedain, Bab wanita haid tidak hadir di musholla, hadis no: 981, Umm ‘Athiyah radhiallahu 'anha berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ.

 قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: "أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ,"

 فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلاَّهُمْ.

Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid,
para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan.”
(Umm ‘Athiyah menyambung) dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam)
agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi musholla.

Hadis ini sebenarnya tidak berkaitan untuk dijadikan hujah. Ini kerana musholla yang diperintahkan agar dijauhi oleh wanita yang didatangi haid adalah padang atau satu tempat yang luas. Ia bukanlah masjid.
Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, solat Hari Raya dilaksanakan di tempat terbuka dan semua orang diperintahkan keluar. Termasuk yang diperintahkan keluar ialah para wanita yang didatangi haid. Wanita yang didatangi haid tidak boleh bersolat, oleh itu Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam menyuruh mereka duduk di luar kawasan solat manakala wanita yang tidak didatangi haid duduk di dalam untuk bersolat.
Seandainya semua wanita, sama ada yang didatangi haid atau tidak, duduk berhimpun di satu kawasan, nescaya saf solat terputus-putus antara yang boleh solat dan yang tidak boleh solat.
Pentingnya, hadis di atas tidak berkaitan dengan hukum wanita yang didatangi haid sama ada boleh memasuki masjid atau tidak.

Ayat 43 Surah al-Nisa’.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ

 وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk hingga kamu sedar
dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub
kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi.

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang orang yang dalam keadaan junub daripada menghampiri masjid melainkan sekadar untuk melintas sahaja. Ini menunjukkan bahawa orang yang junub dilarang memasuki masjid kecuali sekadar melintas sahaja. Orang yang junub diqiyaskan kepada wanita yang didatangi haid. Maka wanita yang didatangi haid turut dilarang memasuki masjid kecuali sekadar melintas sahaja.
Menggunakan qiyas untuk menghubungkan antara haid dan junub adalah tertolak kerana beberapa sebab:
  1. Kes wanita yang didatangi haid adalah sesuatu yang berlaku pada ketika turunnya ayat di atas. Namun Allah hanya menyebut kes orang yang junub dan mendiamkan kes wanita yang didatangi haid. Memandangkan Allah mendiamkannya, maka hendaklah juga kita mendiamkannya tanpa perlu menambah-nambah.
  2. Qiyas adalah kaedah mengeluarkan hukum bagi kes-kes baru yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kes wanita yang didatangi haid bukanlah satu kes yang baru kerana ia sedia wujud pada zaman baginda. Oleh itu tidaklah tepat untuk menggunakan kaedah qiyas untuk menghubungkan antara haid dan junub.
  3. Antara haid dan junub, persamaannya hanya dari sudut kewajipan mandi. Selain itu terdapat beberapa perbezaan yang besar. Antaranya junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan. Oleh itu terdapat banyak perbezaan antara haid dan junub sehingga tidak boleh menyamakan antara kedua-duanya.

No comments: