persada

persada

Thursday, August 2, 2012

Elakkan Berhutang


Terdapat suatu kisah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah seorang sahabat yang telah meninggal dunia setelah mengetahui sahabat yang meninggal dunia tersebut belum melangsaikan hutangnya. Tindakan Rasulullah SAW ini menggambarkan dosa orang tidak menjelaskan hutangnya begitu berat lebih-lebih lagi dalam situasi sekiranya hutangnya itu dilipat gandakan dengan riba.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika didatangi oleh seseorang untuk menyembahyangkan jenazah, lalu Baginda bertanya: “Adakah dia meninggalkan hutang yang telah disempurnakan atau tidak. Sekiranya diberitahu si mati telah menyempurnakan hutangnya maka Baginda akan bersembahyang ke atas jenazah tersebut. Sekiranya tidak disempurnakan, Baginda bersabda: “Sembahyanglah kamu ke atas sahabatmu ini. Selepas berlakunya peristiwa pembukaan Kota Mekah, Baginda Rasulullah SAW telah bersabda: “Akulah yang sepatutnya lebih dipertanggungjawabkan ke atas orang-orang mu‟min daripada diri mereka sendiri, maka sesiapa yang meninggal dunia dan dia berhutang, maka aku akan menjelaskan hutang tersebut dan sesiapa yang meninggalkan harta maka harta tersebut adalah untuk warisnya.”


Rasullulah SAW juga pernah didengari bersabda bahawa tabiat berhutang harus diperangi sebagaimana memerangi amalan kekufuran:



Abu Said al-Khudriyy meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku memohon perlindungan daripada Allah daripada perbuatan kufur dan hutang. Seorang lelaki bertanya kepada Baginda, adakah kamu samakan kekufuran dengan hutang wahai Rasullullah? Baginda menjawab: Ya, mohon dilindungi daripada hutang”.
Di sebalik kesenangan dan kemewahan harta yang dipamerkan oleh orang yang banyak berhutang, jiwa mereka sebenarnya diselubungi keresahan dan tekanan perasaan siang dan malam. Rasulullah SAW sering berdoa kepada Allah SWT agar dijauhkan daripada tabiat berhutang dan antara doa yang sering diamalkan oleh Baginda adalah seperti berikut:




“Ya Allah, aku mohon perlindunganMu daripada perasaan sedih dan gelisah, aku mohon perlindunganMu daripada kelemahan dan kemalasan, aku mohon perlindunganMu dari sifat pengecut dan kedekut, dan aku mohon perlindunganMu daripada cengkaman hutang dan penindasan orang”.

No comments: